Tuesday, May 17, 2011

Bantulah Anak-Anak Remaja



Lama dah tak menulis kat sini, banyak kerja terpaksa diuruskan; mengurus tadika, kelas KAFA dan mengajar anak remaja mengaji Al-Quran. Letih bebenar tapi jauh di sudut hati terasa keindahan berada di jalan Allah.

Baru-baru ini, ummi dikunjungi oleh beberapa orang tetamu, tiga orang anak remaja dan seorang wanita muallaf.  Terasa nak menitis airmata ummi menerima tetamu istimewa ini, terubat segala kesakitan dan keletihan dengan kunjungan mereka.  Tujuan mereka belajar membaca Al-Quran.  Saudara baru ummi, pembantu ummi yang fasih berbahasa Tamil mengajarnya Al-Quran dan sedikit sebanyak tentang fardhu ain.

Tiga orang anak remaja, usianya dalam belasan tahun, murid sekolah menengah.  Hari pertama di kelas ummi mereka hanya duduk diam memerhati ummi mengajar.  Setelah tamat kelas, mereka menghampiri, sedih rasanya bila mereka memberitahu;  "Tak tahu membaca Al-Quran, langsung tak mengenal huruf-huruf al-Quran, Al-fatihah pun tak tahu membaca."  Ingin ummi peluk mereka kerana mereka telah memulakan langkah untuk berada di jalan Allah, semoga Allah memberi petunjuk dan hidayahNya ke atas mereka dan semoga Allah memberi ummi kekuatan untuk mendidik mereka.

Tugas ummi tak sehebat mana pun, hanya mendidik anak-anak di persekitaran tempat ummi tinggal. Sepanjang beberapa tahun ummi mengajar, banyak telah ummi temui. pelbagai ragam, pelbagai kisah.  Anak-anak yang tidak pernah solat dan tidak dididik untuk mengerjakan solat, tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu tentang agama mereka.  Ada yang langsung tak tahu Rukun Islam dan Rukun Iman,  tetapi kalau bab hiburan, artis, awek, mak we, marka, mereka yang paling terror.  Kasihan sungguh mereka, mengikut tanpa akal, melangkah tanpa arah, tanpa tahu jalan, hidup tetapi tidak tahu matlamat hidup.

Benarlah kata seorang penyair;  Abu Atahiyah; “Sesungguhnya masa muda, kekosongan dan kemewahan sangatlah merosakkan seseorang“. 

Jika ada anak-anak remaja yang ingin berubah, bimbinglah mereka, berilah mereka dorongan dan kekuatan kerana kadangkala mereka tidak perolehi kekuatan dari rumah-rumah mereka sendiri.  Keadaan di rumah hari tidak ada roh Al-Quran, rumah hanya tempat lepak menghadap pelpagai jenis hiburan dari kaca televisyen.  Tiada kedengaran suara-suara sayu membaca Al-Quran, rumah yang tidak ada langsung didirikan solat.  Jadi bagaimanakah anak-anak ini nak mencari kekuatan untuk menghadapi dunia luar yang sentiasa memanggil dan menggoda.

Beberapa kisah anak-anak remaja ummi paparkan;

Seorang remaja perempuan telah mula istiqamah dengan solatnya, menutup aurat tetapi ibunya telah mendoakan "Semoga engkau dilanggar lori" apabila si remaja ini menegur ibunya yang tidak pernah mendirikan solat.

Seorang anak remaja perempuan yang berubah meminati Islam, ibunya memanggil "sial" dan "barua" di hadapan orang lain, si anak hanya diam menunduk, mengalir airmata.

Seorang murid remaja yang bersekolah pada sessi petang, meminta izin pada gurunya untuk mengerjakan solat zohor, sangat menyedihkan apabila si guru berkata "Balik sembahyang di rumah, saya pun qadha".

Beberapa orang murid lelaki sekolah menengah (sessi petang) dikenakan denda berdiri di luar kelas selama 30 minit selepas lewat masuk kelas kerana mendirikan solat zohor.

Jadi bantulah remaja-remaja seperti ini, kadangkala mereka ingin berubah tetapi keadaan sekeliling tidak banyak membantu.  Semoga anak-anak remaja ummi punyai kekuatan rohani, mental dan fizikal menghadapi dunia yang semakin mencabar, semakin hari membawa manusia jauh dari Allah s.w.t.

ummi - 17 Mei 2011

No comments:

Post a Comment