Tuesday, October 2, 2012

At-Taubah: 102 - 105


[102]  Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[103]  Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


[104]  Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?


[105]  Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.



Ummi - Sesungguhnya  Al-Quran sebagai pengajaran dan peringatan ('Abasa Ayat 11)

Sunday, August 5, 2012

Tazkirah Untuk Anak-Anak

Ummi diam sahaja dan minta mereka teruskan dengan bacaan tadarus mereka.
Sehabis tadarus, ummi tidak menjawab soalan mereka sebaliknya memberi tazkirah pendek kepada mereka.

Dalam hidup kita perlu ingat dua perkara:

Pertama:  Matlamat Hidup Mesti Jelas



Masa muda, usia remaja jangan biar berlalu begitu saja.  Ikut hati, duduk melepak sahaja, lepak kat cyber cafe, lepak kat shopping kompleks, kat rumah lepak depan tv, lepak depan laptop.  Sembahyang??  Tak sembahyang langsung. Kita hanya melayan kehendak hati, mengikut kehendak nafsu yang hanya inginkan keseronokkan sahaja.  Semasa  muda hidup bertemankan keseronokkan apa akan jadi bila usia meningkat tua.  Adakah Allah akan pelihara hidup kita di usia tua sedangkan masa muda kita lupa Allah, langgar segala macam peraturan Allah.

Ingat matlamat hidup bukan hiburan. 
Matlamat Hidup ialah beribadah kepada Allah s.w.t.  

Bukan bermaksud kita perlu sentiasa bersembahyang, berzikir atau membaca Al-Quran 24 jam.  Bukan juga bermaksud kita wajib haramkan semua bentuk hiburan.  Hiburan tidak haram selagi mana tidak melalaikan diri dari mengingati Allah dan batas hiburan tidak melanggar syariat Allah. Kita hanya perlu menjaga sembahyang 5 waktu sahaja dan pastikan diri  tidak melanggar syariat Allah (jangan berjudi, jangan minum arak, jangan berbuat maksiat). Setelah tu niatkan apa sahaja kita buat kerana Allah, pergi sekolah kerana Allah, baca buku kerana Allah, buat kerja sekolah kerana Allah.  InsyaAllah, Allah s.w.t. akan kurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.  Ini janji Allah, kena yakin pasti dengan janji Allah.

Tetapkan matlamat hidup, 
melangkah kaki mengikut matlamat 
dan hidup perlu berdamping selalu dengan Al-Quran.

Ingatlah bagaimana kita hidup begitulah juga akhir hidup kita.  Orang minum arak, mabuk dan mati "accident" pun dalam keadaan mabuk.  Orang hidupnya bermaksiat kepada Allah mati pun dalam keadaan bermaksiat kepada Allah. Tak sempat bertaubat, tak sempat bermohon keampunan dari Allah s.w.t.  Nauzubillah.


Kedua:  Jaga Ibubapa Terutamanya Ibu



Jaga ibubapa, jangan melawan, jangan berkasar dengan mereka, berkata 'ah' hanya satu patah perkataan Allah sendiri melarang apatah lagi kita membalas berpatah-patah perkataan, menarik muka masam, mencemik muka atau mengajuk dan memerli mereka dan yang paling penting jangan sesekali durhakai mereka.  Taatilah ibubapa, jangan biarkan mereka susah hati, dan menangis kerana kita, terutamanya ibu.

Hati ibu hati yang lembut, dia mudah terasa hati dan dia juga mudah memaafkan.  Layanilah ibu dengan penuh ikhlas, hidangkan air untuknya tanpa diminta, bila dia mengadu kesakitan jagalah dia dan jangan merungut 'ah', 'ish', 'leceh'. Jadilah penawar hati ibu saat dia keletihan bekerja dan pengubat hati saat dia kesedihan.  Hargailah ibu seperti seorang kekasih kerana ibulah kekasih hati anak-anak.

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya: 
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik-baiknya?”  
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”  
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” 
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”       (Hadis Riwayat Bukhari &  Muslim) 


Layanilah ibubapa dengan sebaik-baiknya kerana ianya perentah Allah dan sentiasa doakan mereka dalam solat dan sujud kita.  Walaupun kita tak dapat membalas kesemua jasa mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak menyakiti hati mereka dengan perbuatan dan perkataan yang kurang menyenangkan.  Ingatlah syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibu dan redha Allah dengan redhanya ibubapa.  Jangan sampai ibubapa dah meninggal, baru keinsafan datang mengetuk pintu hati.  Amat sayang dan rugi, saat kita sudah bertaubat kita tak sempat meminta maaf kepada ibubapa.  Sedihkan kita dah insaf, dah bertaubat tapi ibubapa tiada di sisi.

Cukuplah anak-anak mengambil pengajaran dari sedikit tazkirah dari ummi.






Friday, March 30, 2012

Apabila Amanah DiSia-Siakan


Hari ni, Jumaat...biasanya pada sebelah petang jam 5.00, akan ke udara Al-Kuliyyah di TV 3, tapi bila switch on ja tv, yang bercakap tentang agama orangnya beruniform kemas dan mempunyai paku-paku di bahu, dah rasa malas nak tengok, maka tv pun di switch offkan.

Semalam, hari Khamis malam Jumaat kat TV 1, bila buka ja rancangan Forum Hal Ehwal Islam. Yang bercakap tentang agama Islam seorang wanita yang hanya memakai selendang di bahu, suami ummi pun bertanya, "Rancangan apa ni?"  Jawab ummi, "Hal Ehwal Islam."  "Awat yang pelik sangat" katanya.  Ummi diamkan saja dan 'remote control' dipegang, terus ditukar ke TV Al-Hijrah.  Kalau anak ummi, sudah tentu akan ditukar terus ke TV 3, yang setiap malam Jumaatnya menyiarkan kisah-kisah khurafat.  Apa lagi gambar hantu, sampai dah meluat ummi melihatnya dok bersambung bersiri-siri.

Bila melihat orang yang bercakap tentang agama Islam bukan dari kalangan ulamak atau ustaz-ustaz, ummi teringatkan hadis Nabi Muhammad s.a.w.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu  ketika Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dan terus bertanya, "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Raulullah s.a.w. tetap meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Baginda (Ar-Rasul) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Rasulullah s.a.w. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! saya Ya Rasulullah". Maka Baginda. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"?  Rasulullah s.a.w. menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat".  (Hadis Riwayat:  Imam Bukhari)


Tambahan pula sekarang ni, bahang-bahang pilihanraya dah hampir tiba, akan bertambah ramai lagi orang yang akan bercakap tentang agama.







Saturday, December 3, 2011

‘FRUST’ DALAM BERCINTA



Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.”Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.



Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.



Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,  ” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.

Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”



Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.

Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…



Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!

Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).

Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!



Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.

Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.



Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.

Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)  Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.



Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.



Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.

Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.



Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.

Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata,“we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.

Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!


Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.

Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!


Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.

Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…



Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

Sematkan di hati kata pujangga ini:Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”


Pahrol Mohamad Juoi
http://genta-rasa.com/2011/03/07/frust-dalam-bercinta/



Wednesday, November 23, 2011

Menjadi Ghuraba


     Cinta kepada dunia perlu digantikan dengan cinta kepada Allah tanpa mengabaikan dunia. Kecintaan kepada Allah akan melahirkan perasaan cinta kepada akhirat dan ia mempunyai manifestasinya. Di antara menifestasinya adalah berani melawan arus kesesatan dan kemungkaran yang melanda. Mereka ini adalah Ashabul Kahfi pada akhir zaman.


     Nabi Muhammad meggelar mereka dengan nama Ghuraba seperti yang direkodkan oleh Ahmad yang bermaksud, "Islam bermula asing dan ia akan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba." Sahabat nabi bertanya kepada nabi, "Siapakah Ghuraba ya Rasulullah?" Nabi berkata, "Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia."


     Memperbaiki perkara yang sudah rosak bukan perkara mudah, apatah lagi bila kerosakkan sudah begitu teruk. Namun itu adalah tugas yang wajib dilaksanakan oleh mereka yang cintakan agama, kerana kemuliaan diri mereka terletak di situ. Justeru, ilmu yang mantap lagi sahih amat diperlukan, supaya perbaikan yang diperlukan dapat dilakukan dengan baik.


     Usaha pembaikan yang penting adalah mengislah manusia terutamanya kefahaman mereka. Berhubung dengan ini, Al-Bukhari dan Muslim merekodkan kata-kata nabi yang bermaksud, "Manusia laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik pada zaman jahiliah dan mereka yang terbaik di dalam Islam apabila mereka memiliki kefahaman agama."


     Kefahaman yang sahih perlu disusuli dengan amal yang salih. Ia mempunyai suara dakwahnya yang tersendiri kerana dakwah tanpa contoh persis pohon tanpa baja. Contoh atau model yang baik amat diperlukan pada hari ini. Apabila suara kita lantang sedangkan amalan kita sonsang, dakwah kita akan mendapat cemuhan.




Dalam surah As-Saff ayat 2 dan ayat 3, Allah berkata, "Wahai mereka yang beriman, mengapa kamu mengatakan perkara yang tidak kamu lakukan? Allah murka kepada mereka yang mengatakan perkara yang tidak mereka lakukan."




**Petikan buku "TUAN BERTANYA, DR. DANIAL MENJAWAB MENGENAI PERSOALAN ISLAM YANG KONTEMPORARI"



*doa ummi;  Semoga anak-anak menjadi generasi ghuraba.





Tuesday, September 6, 2011

Hati - Menangislah Bila Ramadhan Berlalu Pergi

Aduhai hati banyaknya dosa telah kau lakukan, hati yang bergelumang dengan maksiat, hati yang suka kepada kejahatan, hati yang lalai dengan keseronokan nafsu, hati yang membenci kebaikan, bagaimana agaknya hati sebegini, cantikkah ia, pesonakah hati yang sebegini atau menjijikkan....!

Adakah sebegini hati yang bergelumang dengan maksiat, hati yang membenci kebaikan dan menjadi penentang kebenaran??? Busuk dan menjijikkan!!! 
 Firman Allah s.w.t.; "Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambahkan penyakit itu dan mereka di beri siksaan yang pedih kerana  mendustakan kebenaran."  (Al-Baqarah ayat 10)

 

Hati yang keras dan gelap tanpa hidayah dari Allah s.w.t.
Firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 22;  "Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. mereka yang demikian itu adalah dalam kesesatan yang nyata."



Hati yang karat diseliputi dosa-dosa.
 Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Muthaffifiin ayat 14; "Telah berkarat hati mereka kerana dosa-dosa yang telah mereka lakukan."  



Hati yang dengki membinasakan amal.
Sabda Rasulullah s.a.w.; "Sesungguhnya hasad dengki itu memakan kebaikan sepertimana api yang menjilat kayu api." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)





Bila Ramadhan hadir dapatkah kita membersihkan hati-hati yang sebegini??? Bagaimana agaknya hati kita sekarang? Sudahkah ia sembuh dengan zikrullah di bulan Ramadhan?  Bersinarkah hati dengan ibadah solat lima waktu dan tarawih?  Telah sejukkah hati dengan bersedeqah dan infaq di jalan Allah?  Telah bersihkah hati daripada karat dosa dengan bacaan Al-Quran seperti hadis Nabi ;
Daripada Ibnu Umar r.a. berkata:  "Rasulullah s.a.w. telah bersabda; Hati manusia akan berkarat seperti besi yang dikaratkan oleh air.  Apakah cara untuk menjadikan hati bersinar semula, katanya dengan banyak mengingati mati dan membaca Al-Quran."




Ramadhan telah berlalu, 
bagaimana agaknya hati aku? hati kamu? 
dan hati-hati mereka yang beriman kepada Allah
sudah tentu hati semakin dekat kepada Allah s.w.t.

hati yang bersih dari noda dan dosa
semakin indahnya hati bertaqarub kepada Allah
 bertambah ibadah dan amal kebaikan


Tetapi...
wahai hati
menangislah engkau
bila Ramadhan berlalu pergi
andai engkau tetap hati yang sama


Ummi - 6 September 2011







Saturday, July 16, 2011

Kalau Nak Memilih Suami





Kalau nak memilih suami,
jangan pilih yang baik sahaja
kerana yg baik dan bersopan santun
belum tentu hatinya pada Allah
kadangkala yang baik itu
asyik terlupa mendirikan solat yang lima
yang baik itu
kadangkala tidak mengenali kesyumulan Islam
tidak mengenal kalamullah

Kalau nak memilih suami
jangan hanya memilih yang solat lima waktu sahaja
kerana sehabis solatnya, hanya lepak di hadapan tv
dakwahnya hanya di dalam rumah 
setiap kali di ajak ke majlis ilmu
anak isteri akan dijadi alasan

"minta maaf, saya kena hantar isteri"
"minta maaf, saya nak ambil anak balik tusyen"
"minta maaf, saya nak balik kampung isteri"
beribu alasan akan direka cipta
lelaki ini tidak mengenal perjuangan Islam

Kalau nak memilih suami
pilihlah yang baik budi perkertinya
yang menjaga batas syariat
menjaga batas iktilafnya
kelak tidak menyakiti hati kamu
dengan perbuatannya

Kalau nak memilih suami
pilihlah yang solat lima waktu
berjemaah di rumah Allah
kalamullah sebagai zikirnya
Al-Ouran pendoman hidupnya
pilihlah lelaki yang ...
hatinya telah intima' dijalan Allah
kelak ia menjadi lelaki yang
kamu kagumi dunia akhirat
kelak anak-anakmu
akan menjadi pewaris anbia'
keturunanmu berada di jalan Allah

Pilihlah lelaki
yang baik budi pekertinya
yang solat lima waktunya di rumah Allah
yang hatinya intima' di jalan Allah
Al-Quran pendoman hidupnya
moga perkahwinanmu kelak beroleh barakah

**(semoga suamiku diberi kekuatan oleh Allah)

Ummi - 16 Julai 2011