Saturday, May 21, 2011

15 Mei - Hari Nakbah

Dalam kesibukkan menyambut hari ibu dan hari guru, ramai yang terlepas pandang pada Hari Nakbah (15 Mei).  Ramai yang tidak mengetahuinya dan ramai yang tidak ambil peduli.


Hari Nakbah bermaksud Hari Kecelakaan.  Pada tarikh 15 Mei 1948, Israel telah menceroboh bumi Palestin menyebabkan 500 bandar dan kampung dimusnahkan, seramai 700,000 penduduk bumi Palestin menjadi pelarian.  Tarikh 15 Mei juga disambut oleh Israel sebagai "Hari Penubuhan Negara Israel".  Bumi Palestin pernah diharamkan oleh Allah untuk mereka memasukinya, dan merayau-rayau kaum Bani Israel di padang pasir Sinai selama 40 tahun.  Hal ini telah Allah jelaskan dalam Surah Al-Maidah ayat 20 hingga 26;


20.  Dan (ingatkanlah mereka wahai Muhammad), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Wahai kaumku! Kenanglah nikmat Allah (Yang diberikan) kepada kamu ketika Ia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Ia menjadikan kamu bebas merdeka (setelah kamu diperhamba oleh Firaun dan orang-orangnya), dan Ia memberikan kepada kamu barang yang tidak pernah diberikan kepada seseorang pun dari umat-umat (yang ada pada masa itu)”.


21.  (Nabi Musa berkata lagi): “Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untuk kamu (memasukinya); dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang-orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”.


22.  Mereka menjawab: “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”.


23.  Berkatalah dua lelaki di antara orang-orang yang takut (menyalahi perintah tuhan), lagi yang telah diberi nikmat (taufik) oleh Allah kepada keduanya: “Seranglah mereka melalui pintu itu, kerana apabila kamu memasukinya maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang; dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman”


24.  Mereka (menolak dengan) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasuki negeri itu selama-lamanya selagi kaum itu masih berada di dalamnya; oleh itu pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sebenarnya kami di sinilah duduk menunggu”.


25.  Nabi Musa (merayu kepada Allah), katanya: “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain daripada diriku sendiri dan saudaraku (Harun); oleh itu pisahkanlah antara kami dengan kaum yang fasik itu”.


26.  Allah berfirman: “Sesungguhnya negeri itu diharamkan kepada mereka memasukinya – selama empat puluh tahun, mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya (di sepanjang masa yang tersebut) di padang pasir (Sinai); maka janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”.




Bermula tahun 1998, tarikh ini (15 Mei) telah disambut oleh rakyat Palestin sebagai "Hari Kecelakaan", tarikh bermulanya episod keganasan, kekejaman dan pembunuhan oleh rejim Israel keatas rakyat Palestin.



Telah 63 tahun rakyat Palestin berjuang untuk membebaskan tanah suci ini dari cengkaman rejim Israel dan selama itu juga mereka menghadapi pelbagai penyiksaan dan kekejaman Israel.



Bahagian berwarna hijau penempatan penduduk Palestin yang semakin mengecil dan bahagian berwarna putih penguasaan rejim Israel ke atas bumi Palestin


“Jika seorang Ahmad Yassin terbunuh, ribuan lagi Ahmad Yassin akan muncul”  (Sheikh Ahmad Yassin)



ummi - 21 Mei 2011

No comments:

Post a Comment