Friday, March 25, 2011

Kenapa Allah Bagi Lepas Satu, Satu



Sambil menyembamkan mukanya di atas meja seorang ayah menangis di hadapan rakannya dan berkata; "Kenapa Allah bagi kat aku lepas satu, satu."


Seorang ibu yang memang kehidupannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dengan hiba dan tangis berkata; "Saya dah susah, kenapa Allah bagi kat saya satu persatu."


"Mak, saya dah tunaikan perintah Allah, taat kepada ibubapa tapi kenapa saya diuji lepas satu, satu," keluh seorang anak gadis.


"Kenapa Allah bagi kat saya lepas satu, satu", Inilah keluhan sedih yang sering kali kita dengar.  Maksudnya; Kenapa Allah berikan saya lepas satu dugaan datang pula dugaan yang lain bak kata pepatah "sudah jatuh ditimpa tangga", "sudah basah kehujanan pula".

Adakah Tuhan itu kejam atau adakah Allah sengaja menyiksa hamba-hambaNya??? Tidak sama sekali...!  Allah tidak bersifat kejam, andai Allah kejam niscaya direntap mereka yang engkar, niscaya disiksa, disiat dengan segera mereka yang bergelumang dengan maksiat.  Tetapi Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat kepadaNya. sentiasa membuka pintu-pintu keampunan dan rahmatNya buat hamba-hambaNya.



Kenapa Manusia Diuji


Firman Allah s.w.t.;  "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.  (Surah Al-Ankabut Ayat 2 & 3)

Ujian merupakan penentuan tahap keimanan manusia terhadap Allah s.w.t. Allah ingin menguji sejauh mana teguh iman seseorang terhadap Allah.  Adakah teguh imannya atau ia hanya berdusta dengan imannya, hanya mengucapkan iman dilidah tapi dusta melalui perbuatan.


Orang beriman tidak akan goyah imannya dek dugaan yang menimpa, orang yang beriman tidak akan lemah dikala ujian menimpa kerana kesemua dugaan itu juga merupakan kebaikan bagi orang yang beriman.


Telah bersabda Rasulullah s.a.w.;  "Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)



Dengan ujian menjadikan kita kuat, dengan ujian menjadikan kita matang, dengan ujian menjadikan kita bertambah dekat dengan kekasih Yang Satu, dengan ujian menjadi kita bertakwa disisi Allah s.w.t.


Tetapi kenapa ujian ditimpa ke atas aku satu demi satu, kenapa orang lain bahagia, kenapa aku menderita dengan ujian sebegini, kenapa orang lain ketawa dan aku menangis sendirian.  Jawapannya kerana Allah hendak mengurniakan yang terbaik bagi kamu, Allah hendak memberi ganjaran dari sisiNya ke atas kamu, Allah hendak memberikan kamu syurgaNya. Tidakkah kamu mahu menerimanya, ganjaran dari sisi Allah???  Adakah kamu mahu menolak kurniaan syurga dari Allah s.w.t.???


Firman Allah s.w.t.;  "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."  (Surah Al-Baqarah ayat 114)


Jika mahu menerima syurga dari Allah, bersabarlah dengan dugaan hidup meski ia datang bertalu-talu, meski ia datang dalam kepayahan yang amat sangat.  Bersabarlah, berpegang  teguhlah, InsyaAllah pasti datang pertolongan Allah.  Inilah janji Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 114.




Kesedihan Yang Melampau;  Rasa sedih, rasa gundah dalam penderitaan hidup merupakan perkara biasa bagi orang mukmin tetapi jangan dilayan perasaan sedih yang berpanjangan.  Perasaan sedih yang melampau adalah dari syaitan kerana perasaan sedih sebegini akan menjadikan diri kita lemah, membuat kehidupan kita murung dan tidak terurus. Perasaan sedih sebegini membuka ruang untuk syaitan menganggu pemikiran anak Adam, membuat kita berprasangka dengan Allah, Dia Yang Sentiasa Menyayangi kita.  Dan lebih parah lagi apabila perasaan sedih yang membawa kepada dosa, mengambil arak atau dadah untuk menenangkan jiwa ataupun mengambil jalan singkat (mengakhiri nyawa sendiri). Nauzubillahi min zalik.


Pengubat Hati;  Bagaimana mengubat hati yang yang gundah, hati yang suka berkeluh kesah, hati yang sering menangis.


Pada suatu masa, seorang lelaki mendatangi sahabat Abdullah bin Masud dan berkata, "Wahai Ibn Masud, nasihatkan aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku, buat masa ini, jiwa ku tidak tenteram, fikiran ku kusut, tidur ku tidak nyenyak dan seleraku hilang."

Abdullah bin Masud menjawab;  Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat 

Pertama; ke tempat orang yang membaca Quran, tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain.

Kedua; kamu menghadirilah majlis pengajian, atau lebih tepat majlis ilmu yang mengingatkan kamu kepada tuhan 

dan Ketiga; kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangunlah melaksanakan ibadah kepada tuhan serta memohon kepadanya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati......

Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada tuhan supaya digantikan hati kamu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu milik sekarang ini bukannya hati kamu"



Inilah jawapan yang terbaik bagi mengubat hati yang duka.  Al-Quran yang sifatnya ramatan lil a'lamin yang membawa pelbagai rahmat, nur atau cahaya kehidupan, pastinya membawa ketenangan dalam kehidupan manusia alam sejagat. Berdampinglah dengan Al-Quran selalu kerana ianya pengubat yang paling mujarab buat jiwa yang mencari ketenangan, jiwa yang mencari sakinah dan saadah dalam sebuah kehidupan.  



Jalannya sudah jelas, terpulanglah kepada kita sendiri untuk memilih jalan yang membawa sakinah dan sa'adah.  Perasaan sedih dan rasa gundah gulana memang sukar untuk hilang, kadangkala ianya mengambil masa yang bertahun-tahun, tetapi seandainya kita memilih untuk berdamping dengan Allah s.w.t. dan Al-Quran, InsyaAllah kita pasti mendapat ketenangan dan keredhaan dari sisiNya.  Inilah nikmat sakinah yang tak ternilai, hidup seorang insan yang diredhai di sisiNya.


Ingatlah! Jangan dilayan perasaan sedih atau murung yang berpanjangan kerana kita telah memilih untuk membinasakan diri kita sendiri.  Jangan disalahkan tuhan di atas dugaan yang bertimpa satu persatu.  Terima segala-galanya dengan hati yang redha, pasti Allah meredhai dan memberkati kehidupan kita. Pilihlah jalan yang diredhai oleh Al-Khaliq, Kekasih Yang Satu, di sana kita akan temui ketenangan hidup, cinta dan redhaNya.  Semoga aku, kamu dan kita semua berada di bawah rahmat dan lindungan Allah s.w.t., InsyaAllah.




ummi - 25 mac 2011

1 comment:

  1. Bagi yang tidak diuji, memang senang untuk menulis macam ni.

    ReplyDelete