Friday, March 25, 2011

Kenapa Allah Bagi Lepas Satu, Satu



Sambil menyembamkan mukanya di atas meja seorang ayah menangis di hadapan rakannya dan berkata; "Kenapa Allah bagi kat aku lepas satu, satu."


Seorang ibu yang memang kehidupannya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, dengan hiba dan tangis berkata; "Saya dah susah, kenapa Allah bagi kat saya satu persatu."


"Mak, saya dah tunaikan perintah Allah, taat kepada ibubapa tapi kenapa saya diuji lepas satu, satu," keluh seorang anak gadis.


"Kenapa Allah bagi kat saya lepas satu, satu", Inilah keluhan sedih yang sering kali kita dengar.  Maksudnya; Kenapa Allah berikan saya lepas satu dugaan datang pula dugaan yang lain bak kata pepatah "sudah jatuh ditimpa tangga", "sudah basah kehujanan pula".

Adakah Tuhan itu kejam atau adakah Allah sengaja menyiksa hamba-hambaNya??? Tidak sama sekali...!  Allah tidak bersifat kejam, andai Allah kejam niscaya direntap mereka yang engkar, niscaya disiksa, disiat dengan segera mereka yang bergelumang dengan maksiat.  Tetapi Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang sentiasa memberi peluang kepada manusia untuk bertaubat kepadaNya. sentiasa membuka pintu-pintu keampunan dan rahmatNya buat hamba-hambaNya.



Kenapa Manusia Diuji


Firman Allah s.w.t.;  "Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan). Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.  (Surah Al-Ankabut Ayat 2 & 3)

Ujian merupakan penentuan tahap keimanan manusia terhadap Allah s.w.t. Allah ingin menguji sejauh mana teguh iman seseorang terhadap Allah.  Adakah teguh imannya atau ia hanya berdusta dengan imannya, hanya mengucapkan iman dilidah tapi dusta melalui perbuatan.


Orang beriman tidak akan goyah imannya dek dugaan yang menimpa, orang yang beriman tidak akan lemah dikala ujian menimpa kerana kesemua dugaan itu juga merupakan kebaikan bagi orang yang beriman.


Telah bersabda Rasulullah s.a.w.;  "Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)



Dengan ujian menjadikan kita kuat, dengan ujian menjadikan kita matang, dengan ujian menjadikan kita bertambah dekat dengan kekasih Yang Satu, dengan ujian menjadi kita bertakwa disisi Allah s.w.t.


Tetapi kenapa ujian ditimpa ke atas aku satu demi satu, kenapa orang lain bahagia, kenapa aku menderita dengan ujian sebegini, kenapa orang lain ketawa dan aku menangis sendirian.  Jawapannya kerana Allah hendak mengurniakan yang terbaik bagi kamu, Allah hendak memberi ganjaran dari sisiNya ke atas kamu, Allah hendak memberikan kamu syurgaNya. Tidakkah kamu mahu menerimanya, ganjaran dari sisi Allah???  Adakah kamu mahu menolak kurniaan syurga dari Allah s.w.t.???


Firman Allah s.w.t.;  "Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)."  (Surah Al-Baqarah ayat 114)


Jika mahu menerima syurga dari Allah, bersabarlah dengan dugaan hidup meski ia datang bertalu-talu, meski ia datang dalam kepayahan yang amat sangat.  Bersabarlah, berpegang  teguhlah, InsyaAllah pasti datang pertolongan Allah.  Inilah janji Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 114.




Kesedihan Yang Melampau;  Rasa sedih, rasa gundah dalam penderitaan hidup merupakan perkara biasa bagi orang mukmin tetapi jangan dilayan perasaan sedih yang berpanjangan.  Perasaan sedih yang melampau adalah dari syaitan kerana perasaan sedih sebegini akan menjadikan diri kita lemah, membuat kehidupan kita murung dan tidak terurus. Perasaan sedih sebegini membuka ruang untuk syaitan menganggu pemikiran anak Adam, membuat kita berprasangka dengan Allah, Dia Yang Sentiasa Menyayangi kita.  Dan lebih parah lagi apabila perasaan sedih yang membawa kepada dosa, mengambil arak atau dadah untuk menenangkan jiwa ataupun mengambil jalan singkat (mengakhiri nyawa sendiri). Nauzubillahi min zalik.


Pengubat Hati;  Bagaimana mengubat hati yang yang gundah, hati yang suka berkeluh kesah, hati yang sering menangis.


Pada suatu masa, seorang lelaki mendatangi sahabat Abdullah bin Masud dan berkata, "Wahai Ibn Masud, nasihatkan aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku, buat masa ini, jiwa ku tidak tenteram, fikiran ku kusut, tidur ku tidak nyenyak dan seleraku hilang."

Abdullah bin Masud menjawab;  Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat 

Pertama; ke tempat orang yang membaca Quran, tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain.

Kedua; kamu menghadirilah majlis pengajian, atau lebih tepat majlis ilmu yang mengingatkan kamu kepada tuhan 

dan Ketiga; kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangunlah melaksanakan ibadah kepada tuhan serta memohon kepadanya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati......

Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada tuhan supaya digantikan hati kamu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu milik sekarang ini bukannya hati kamu"



Inilah jawapan yang terbaik bagi mengubat hati yang duka.  Al-Quran yang sifatnya ramatan lil a'lamin yang membawa pelbagai rahmat, nur atau cahaya kehidupan, pastinya membawa ketenangan dalam kehidupan manusia alam sejagat. Berdampinglah dengan Al-Quran selalu kerana ianya pengubat yang paling mujarab buat jiwa yang mencari ketenangan, jiwa yang mencari sakinah dan saadah dalam sebuah kehidupan.  



Jalannya sudah jelas, terpulanglah kepada kita sendiri untuk memilih jalan yang membawa sakinah dan sa'adah.  Perasaan sedih dan rasa gundah gulana memang sukar untuk hilang, kadangkala ianya mengambil masa yang bertahun-tahun, tetapi seandainya kita memilih untuk berdamping dengan Allah s.w.t. dan Al-Quran, InsyaAllah kita pasti mendapat ketenangan dan keredhaan dari sisiNya.  Inilah nikmat sakinah yang tak ternilai, hidup seorang insan yang diredhai di sisiNya.


Ingatlah! Jangan dilayan perasaan sedih atau murung yang berpanjangan kerana kita telah memilih untuk membinasakan diri kita sendiri.  Jangan disalahkan tuhan di atas dugaan yang bertimpa satu persatu.  Terima segala-galanya dengan hati yang redha, pasti Allah meredhai dan memberkati kehidupan kita. Pilihlah jalan yang diredhai oleh Al-Khaliq, Kekasih Yang Satu, di sana kita akan temui ketenangan hidup, cinta dan redhaNya.  Semoga aku, kamu dan kita semua berada di bawah rahmat dan lindungan Allah s.w.t., InsyaAllah.




ummi - 25 mac 2011

Friday, March 11, 2011

Anak-Anak Dan Mukabuku (Facebook)





Sudah beberapa minggu ummi dalam keadaan batuk, sakit tekak dan selsema, ke klinik sudah, ubat batuk pun dah tiga botol habis, tetapi penyakit tak juga pergi.  Mungkin di usia tua ini, daya tahan penyakit dah semakin menurun, mungkin juga untuk mengkifarahkan dosa-dosa ummi.  


Sabda Rasulullah s.a.w., "Jangan kamu mencaci demam sesungguhnya ia menghapuskan kesalahan anak Adam sebagaimana mesin penghembus api menghapuskan karat-karat besi." 


Bila teringat hadis ini, kenalah bersabar, teringat seorang sahabat Rasulullah s.a.w. yang senantiasa dalam keadaan demam sehingga kematian menjemputnya.  Sungguh tinggi kesabarannya, semoga ummi sekuat itu.


Doktor menasihatkan ummi kurang menggunakan suara tapi bagaimana nak mengajar tanpa suara, nak ambil cuti memang susah, nanti kelas lintang pukang jadinya. Jadi terpaksalah mengajar juga, tapi semalam ummi rasa malas sangat nak mengajar, ummi pergi kelas duduk berbual dengan anak-anak yang usianya antara 10 tahun hingga 12 tahun.  Perbualan kami berkisar tentang facebook, ada murid yang bertanya, "ummi ada facebook tak?"  Banyak persoalan tentang facebook dapat ummi bincangkan bersama mereka.  Mungkin ini hikmahnya sakit tekak ummi.


Inilah beberapa persoalan yang diajukan oleh anak-anak yang usianya sekitar 10 - 12 tahun, murid lelaki bertanya hukum add perempuan2 cantik, hukum melihat gambar perempuan yang tidak menutup aurat, hukum melihat gambar perempuan cantik tapi bertudung dan seorang murid lelaki usianya baru nak menghampiri 10 tahun bertanya hukum melihat video panas.  Anak-anak perempuan pula bercerita; umur saya 10 tahun tapi kat fb saya letak 16 tahun, boleh tak letak gambar seksi kat fb, boleh menyamar kat fb tak?                                                                            


Aduhai anak-anak ummi, usia baru setahun jagung sudah pandai berfb, sudah pandai mengurat perempuan di fb, sudah tahu tentang video panas, sudah pandai berpakaian seksi untuk mendapat perhatian.  Wahai anak-anak, engkau masih kecil tak kenal dosa dan pahala, kasihan sungguh kalian tak diajar untuk mengenal kebaikan dan keburukkan dan paling menyedihkan kalian tak diajar mengenal tuhan, Rabb Yang Satu, Yang Maha Melihat   setiap perbuatan hamba-hambaNya


Sabda Rasulullah s.a.w.; "Setiap anak dilahirkan dalam putih bersih, terpulang kepada ibubapa untuk meyahudikannya atau menasranikannya atau memajusikannya" (Hadis Riwayat Bokhari)  


Hati ummi tertanya adakah kita sedang meyahudikan si cilik muslim melalui facebook???  Di facebook, tiada pengawasan ibubapa, tiada ustaz, ustazah yang membimbing, tiada che gu yang mengenakan tindakan disiplin, yang ada hanya sebuah kebebasan tanpa sempadan dan si cilik muslim masih belum petah untuk menilai, hanya terikut-ikut dengan budaya asing.  


Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Baqarah ayat 120
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka. Katakanlah: "Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang benar)". Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti kemauan mereka setelah pengetahuan datang kepadamu, maka Allah tidak lagi menjadi pelindung dan penolong bagimu.” 


Jika direnungkan ayat ini, rasa takut pula kerana facebook itu milik Yahudi, takut Allah tidak akan lagi menjadi pelindung dan penolong kita.  Takut jika keadaan ini dibiarkan berleluasa dan berterusan apa akan jadi pada si cilik muslim.  Sesungguhnya mereka, Yahudi dan Nasrani memang amat menginginkan kita (umat Islam) mengikut jejak langkah mereka dan anak-anak Muslim pula memang amat mudah terpengaruh


Sabda Rasulullah s.a.w.;
Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a berkata: Bahawasanya Rasulullah saw. bersabda “Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun akan kamu mengikuti mereka”. Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nashrani yang kau maksudkan?” Nabi saw. menjawab,  “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (H.R. Muslim)


Entahlah tak berani nak menghukum fb ni haram, tetapi apabila melihat ketagihan masyarakat kini dan kesannya kepada anak-anak muslim, ianya amat mengusarkan. Nilai takut dan takwa kepada Allah tiada dalam fb, perasaan bahawa Allah senantiasa melihat setiap perbuatan jauh melayang sama sekali. Kalau takut dan takwa kepada Allah telah tiada, apakah kualiti umat ini?  Bersamalah kita fikirkan dan renungkan.


Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a. dia berkata: Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat berarti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembalakan hewan gembalaannya disekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahwa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahwa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa dia adalah hati “  (Hadis Riwayat Bokhari dan Muslim)


-




ummi - 11 March 2011