Saturday, December 4, 2010

Wahai Angkatan Baru


Jam 1.00 pagi, aku masih belum melelapkan mata.  Dari luar kedengaran suara anak-anak remaja berbual-bual sambil ketawa, selang beberapa lama kedengaran deruman motor menandakan mereka berlalu pergi. Ke mana agaknya, di tengah malam dinihari, mungkin merempit lagi...!  Tidak risaukah ibu di rumah, lelap lenakah tidur ayah sedangkan anak masih belum menapak pulang.  Kasihan hidup remaja ini  langkahnya tidak tahu ke mana.  Kasihan ibu dan ayah, risau hati, gundah jiwa, hanya Allah yang tahu

Dan aku juga sering bertemu anak-anak remaja lain di alam maya.  Ku baca karya mereka, ku renungi pemikiran mereka, aku berasa bangga kerana dakwah ini sudah ada pewarisnya.  Tapi di manakah mereka ini???  Ku lihat di masjid, yang memenuhi saf solat hanya mereka yang separuh atau lanjut usia. Mungkinkah sedang berkuliah di surau atau tempat-tempat lain, lalu ku intai tapi yang kelihatan hanya beberapa orang anak muda. Mungkin juga mereka sedang tekun menuntut ilmu di pengajian tinggi, agaknya tentu penuh saf surau atau masjid di institusi.  Aneh, tapi kenapa saf solat hanya satu atau dua barisan sahaja.  Mungkin mereka terlalu sibuk dengan kertas-kertas kuliah hingga terpaksa terperap bersekang mata, kasihan mereka... hati kecilku berhusnuzan.  

Di malam yang sunyi, ku berdoa agar pewaris dakwah ini melangkah kaki membimbing anak-anak remaja yang dahagakan petunjuk dari Illahi. Moga tidak gundah lagi jiwa si ayah, moga doa salju ibu buat si anak remaja Allah kabulkan.  Sesungguhnya Engkaulah, Ya Allah, Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Yang Maha Mendengar setiap bisikan hati, mengabulkan setiap doa yang meminta, memohon padaMu.  Perkenankanlah doa hamba-hambaMu ini.  Ameen ya Rabbal A'lamin.

Untuk anak-anak yang bakal melangkah ke medan dakwah, ku titipkan pesanan ini;

Wahai Angkatan Baru  (Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna)

Siapkanlah dirimu untuk menggantikan angkatan tua
mereka akan pulang tak lama lagi.
Janganlah engkau menjadi pemuda kecapi suling,
yang bersenandung meratapi tepian yang sudah runtuh,
mengenang masa silam yang telah pergi jauh.
Janganlah engkau membuat kekeliruan lagi,
seperti yang pernah dilakukan 
oleh angkatan yang engkau gantikan
Teruskan perjalanan ini dengan tenaga dan kakimu sendiri.
Dada bumi cukup luas untuk menerima kehadiranmu

Penuhilah segenap udara ini dengan kegiatan dan ketekunan
sungguh dan penuh.
Hadapilah tugas berat ini dengan jiwa yang besar
dengan daya juang api semangat yang nyalanya kuat dan keras.
Pupuklah Ruhul-Jihad, 
semangat revolusi, radikal dan progressif dalam jiwamu, 
dan bertindaklah sebagai laki-laki dengan perhitungan yang nyata 
dan pertimbangan yang matang.


Perkayalah dirimu dengan meneladan kepada masa silam, 
di mana ada yang rebah dan ada yang bangun, 
ada yang jatuh dan terus berdiri lagi.
Kamu tidak boleh menjadi “plagiator” dari angkatan lama, 
dan tidak boleh pula menepuk dada 
serta menidakkan segala harga dan nilai, 
jasa dan karya dari angkatan lama.
Mereka kaya dengan pengalaman, engkau kaya dengan cita-cita.
Padukanlah pengalaman angkatan lama dengan nyala citamu!

Sejarah ini telah lama berjalan bergerak dan berkembang.
Kamu hanyalah tenaga penyambung 
menyelesaikan bengkalai yang belum selesai.
Meneruskan pekerjaan besar, turun temurun, 
dari keturunan yang satu kepada keturunan yang lain, 
angkatan kemudian angkatan.
Kafilah hidup ini adalah ibarat gelombang di lautan; 
menghempas yang satu, menyusul yang lain; 
memecah yang pertama datang yang kedua.
Sedarilah posisi dan fungsimu dalam sejarah, 
dan lakukanlah tugas suci ini dengan pengertian, 
keyakinan dan kesabaran!

Insafilah kedaulatanmu sebagai Pemuda Angkatan Baru, 
yang hendak menggantikan manusia tua angkatan lama.
Tidaklah sama dan serupa antara kedua angkatan zaman itu, 
kerana sejarah berjalan sentiasa 
menurut hukum dinamika dan hukum dialektika.


Petikan Sajak Syikwa dan Jawabi (Imam Hasan Al-Banna)

Tak ada lagi kekayaan kami yang tinggal, Ya Rabbi
Kecuali satu, iaitu kemiskinan
Tak ada lagi kekuatan kami yang tinggal, Ya Rabbi
Kecuali satu, iaitu kelemahan; padahal
Jika Muslim tak ada lagi di dunia
Dunia itu sendiri pun akan hilang hancur
Kami memohon Baqa didunia ini
Kerana ingin Fana, dalam cinta akan diKau

Kesetiaan Siddiq, keadilan Umar, musyaf Othman 
Taqwa Ali, kejujuran Salman
Keindahan suara Bilal didalam azan 
Semuanya masih tetap kami simpan, dihati yang am
Di dalam keteguhan Iman dan penyerahan yang bulat
Bangunkanlah Ya Rabbi kami kembali
Dengan itu suara genta yang pertama kali
Telah Engkau bangunkan Agama ini 
mulanya di puncak Faran
Maka terangilah hati siasyik ini dengan hembusan Iman
Bakar habis cintakan dunia
Dengan cetusan api cinta Mu

Hai! Anak



Hai Anak!

Sebahagian dari nasihat Rasulullah s.a.w. kepada umatnya ialah;
“Tanda bahawa Allah berpaling dari seseorang ialah
ia ‘membuang-buang waktu’ kepada barang yang tidak berguna”.  
Jika seseorang hilang barang satu saat dari umurnya
dalam sesuatu yang tidak ia dijadikan Allah mengerjakannya,
patut sekalilah tak putus-putus sesalnya;
dan barangsiapa yang berumur lebh 40 tahun 

sedang kebaikannya belum mengalahkan kejahatannya,
baiklah ia bersedia-sedia untuk masuk neraka.

Hai Anak! 

Janganlah engkau hidup sampai kemiskinan amal
dan kehilangan kemahuan bekerja,
dan yakinlah bahawa ilmu semata-mata
tidak akan menyelamatkan orang.
Dan jika pun seratus tahun engkau duduk membaca menuntut ilmu
dan seribu buku engkau himpunkan,
tidaklah engkau bersedia menerima rahmat Allah
melainkan dengan amal jua

Firman Allah s.w.t.;
“Maka barangsiapa yang mengharap untuk menemui Tuhannya,
hendaklah ia beramal soleh”
  (Surah Al-Kahfi – ayat 110)

Hai Anak! 

Berapa banyaknya malam tempatmu
berjaga-jaga mengulangi ilmu, membaca buku,
dan engkau haramkan tidur atas dirimu.
  
Aku tak tahu apa yang mendorongmu berbuat demikian.  
Jika yang mendorong itu kehendak mencapai harta benda
dan kesenangan dunia dan mengejar pangkat darjat
dan mencari kelebihan atas kawan berlumba,
maka malanglah engkau, malang.
 

Benar sekali kata penyair;
                                                                                                    
Biarpun mengantuk menyiksa mata
Hingga pun mata menjadi buta
Akan percuma semata-mata
Jika tak kerana Tuhan semesta

Biar menangis berpilu-pilu
Walau meratap bertalu-bertalu
Hanya perbuatan seorang dungu
Oleh "yang bukan-bukan" berhati pilu



Hai Anak! 
Hiduplah sebagaimana yang engkau sukai (tapi ingat!)
bahawasanya engkau akan mati,
dan cintailah siapa yang engkau sukai (tapi jangan lupa!)
bahawasanya engkau akan berpisah dengannya,
dan buatlah apa yang kehendaki (tapi ketahui!)
bahawasanya engkau akan menerima balasan setimpal dengannya



Hai Anak!   
Ilmu yang tidak disertai dengan amal itu namanya gila,
dan amal yang tidak disertai ilmu itu akan sesia.
Dan ketahuilah, bahawa semata-mata ilmu sahaja
tidak akan menjauhkanmu dari maksiat di dunia ini,
dan tidak akan membawamu pada taat,
dan kelak pun di akhirat
tidak akan memeliharamu daripada neraka jahanam.

Dan apabila di waktu ini engkau tidak beramal
dan tidak engkau sesali, insafi kelalaianmu di masa lalu,
nanti di hari kiamat engkau akan berkata;
“Ya Tuhan! Kembalikan kami ke dunia,
niscaya kami akan berbuat amal soleh”.
Maka permohonanmu akan dijawab;
“Hai dungu! Bukankah engkau datang dari sana?”



Jagalah, jaga benar-benar.....


dari buku Hai Anak (Imam Ghazali)