Sehabis tadarus, ummi tidak menjawab soalan mereka sebaliknya memberi tazkirah pendek kepada mereka.
Dalam hidup kita perlu ingat dua perkara:
Pertama: Matlamat Hidup Mesti Jelas
Masa muda, usia remaja jangan biar berlalu begitu saja. Ikut hati, duduk melepak sahaja, lepak kat cyber cafe, lepak kat shopping kompleks, kat rumah lepak depan tv, lepak depan laptop. Sembahyang?? Tak sembahyang langsung. Kita hanya melayan kehendak hati, mengikut kehendak nafsu yang hanya inginkan keseronokkan sahaja. Semasa muda hidup bertemankan keseronokkan apa akan jadi bila usia meningkat tua. Adakah Allah akan pelihara hidup kita di usia tua sedangkan masa muda kita lupa Allah, langgar segala macam peraturan Allah.
Ingat matlamat hidup bukan hiburan.
Matlamat Hidup ialah beribadah kepada Allah s.w.t.
Tetapkan matlamat hidup,
melangkah kaki mengikut matlamat
dan hidup perlu berdamping selalu dengan Al-Quran.
Ingatlah bagaimana kita hidup begitulah juga akhir hidup kita. Orang minum arak, mabuk dan mati "accident" pun dalam keadaan mabuk. Orang hidupnya bermaksiat kepada Allah mati pun dalam keadaan bermaksiat kepada Allah. Tak sempat bertaubat, tak sempat bermohon keampunan dari Allah s.w.t. Nauzubillah.
Kedua: Jaga Ibubapa Terutamanya Ibu
Jaga ibubapa, jangan melawan, jangan berkasar dengan mereka, berkata 'ah' hanya satu patah perkataan Allah sendiri melarang apatah lagi kita membalas berpatah-patah perkataan, menarik muka masam, mencemik muka atau mengajuk dan memerli mereka dan yang paling penting jangan sesekali durhakai mereka. Taatilah ibubapa, jangan biarkan mereka susah hati, dan menangis kerana kita, terutamanya ibu.
Hati ibu hati yang lembut, dia mudah terasa hati dan dia juga mudah memaafkan. Layanilah ibu dengan penuh ikhlas, hidangkan air untuknya tanpa diminta, bila dia mengadu kesakitan jagalah dia dan jangan merungut 'ah', 'ish', 'leceh'. Jadilah penawar hati ibu saat dia keletihan bekerja dan pengubat hati saat dia kesedihan. Hargailah ibu seperti seorang kekasih kerana ibulah kekasih hati anak-anak.
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Layanilah ibubapa dengan sebaik-baiknya kerana ianya perentah Allah dan sentiasa doakan mereka dalam solat dan sujud kita. Walaupun kita tak dapat membalas kesemua jasa mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak menyakiti hati mereka dengan perbuatan dan perkataan yang kurang menyenangkan. Ingatlah syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibu dan redha Allah dengan redhanya ibubapa. Jangan sampai ibubapa dah meninggal, baru keinsafan datang mengetuk pintu hati. Amat sayang dan rugi, saat kita sudah bertaubat kita tak sempat meminta maaf kepada ibubapa. Sedihkan kita dah insaf, dah bertaubat tapi ibubapa tiada di sisi.
Cukuplah anak-anak mengambil pengajaran dari sedikit tazkirah dari ummi.
No comments:
Post a Comment