Sunday, August 5, 2012

Tazkirah Untuk Anak-Anak

Ummi diam sahaja dan minta mereka teruskan dengan bacaan tadarus mereka.
Sehabis tadarus, ummi tidak menjawab soalan mereka sebaliknya memberi tazkirah pendek kepada mereka.

Dalam hidup kita perlu ingat dua perkara:

Pertama:  Matlamat Hidup Mesti Jelas



Masa muda, usia remaja jangan biar berlalu begitu saja.  Ikut hati, duduk melepak sahaja, lepak kat cyber cafe, lepak kat shopping kompleks, kat rumah lepak depan tv, lepak depan laptop.  Sembahyang??  Tak sembahyang langsung. Kita hanya melayan kehendak hati, mengikut kehendak nafsu yang hanya inginkan keseronokkan sahaja.  Semasa  muda hidup bertemankan keseronokkan apa akan jadi bila usia meningkat tua.  Adakah Allah akan pelihara hidup kita di usia tua sedangkan masa muda kita lupa Allah, langgar segala macam peraturan Allah.

Ingat matlamat hidup bukan hiburan. 
Matlamat Hidup ialah beribadah kepada Allah s.w.t.  

Bukan bermaksud kita perlu sentiasa bersembahyang, berzikir atau membaca Al-Quran 24 jam.  Bukan juga bermaksud kita wajib haramkan semua bentuk hiburan.  Hiburan tidak haram selagi mana tidak melalaikan diri dari mengingati Allah dan batas hiburan tidak melanggar syariat Allah. Kita hanya perlu menjaga sembahyang 5 waktu sahaja dan pastikan diri  tidak melanggar syariat Allah (jangan berjudi, jangan minum arak, jangan berbuat maksiat). Setelah tu niatkan apa sahaja kita buat kerana Allah, pergi sekolah kerana Allah, baca buku kerana Allah, buat kerja sekolah kerana Allah.  InsyaAllah, Allah s.w.t. akan kurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.  Ini janji Allah, kena yakin pasti dengan janji Allah.

Tetapkan matlamat hidup, 
melangkah kaki mengikut matlamat 
dan hidup perlu berdamping selalu dengan Al-Quran.

Ingatlah bagaimana kita hidup begitulah juga akhir hidup kita.  Orang minum arak, mabuk dan mati "accident" pun dalam keadaan mabuk.  Orang hidupnya bermaksiat kepada Allah mati pun dalam keadaan bermaksiat kepada Allah. Tak sempat bertaubat, tak sempat bermohon keampunan dari Allah s.w.t.  Nauzubillah.


Kedua:  Jaga Ibubapa Terutamanya Ibu



Jaga ibubapa, jangan melawan, jangan berkasar dengan mereka, berkata 'ah' hanya satu patah perkataan Allah sendiri melarang apatah lagi kita membalas berpatah-patah perkataan, menarik muka masam, mencemik muka atau mengajuk dan memerli mereka dan yang paling penting jangan sesekali durhakai mereka.  Taatilah ibubapa, jangan biarkan mereka susah hati, dan menangis kerana kita, terutamanya ibu.

Hati ibu hati yang lembut, dia mudah terasa hati dan dia juga mudah memaafkan.  Layanilah ibu dengan penuh ikhlas, hidangkan air untuknya tanpa diminta, bila dia mengadu kesakitan jagalah dia dan jangan merungut 'ah', 'ish', 'leceh'. Jadilah penawar hati ibu saat dia keletihan bekerja dan pengubat hati saat dia kesedihan.  Hargailah ibu seperti seorang kekasih kerana ibulah kekasih hati anak-anak.

Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya: 
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik-baiknya?”  
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”  
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.” 
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?” 
Baginda menjawab: “Ayah kamu.”       (Hadis Riwayat Bukhari &  Muslim) 


Layanilah ibubapa dengan sebaik-baiknya kerana ianya perentah Allah dan sentiasa doakan mereka dalam solat dan sujud kita.  Walaupun kita tak dapat membalas kesemua jasa mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak menyakiti hati mereka dengan perbuatan dan perkataan yang kurang menyenangkan.  Ingatlah syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibu dan redha Allah dengan redhanya ibubapa.  Jangan sampai ibubapa dah meninggal, baru keinsafan datang mengetuk pintu hati.  Amat sayang dan rugi, saat kita sudah bertaubat kita tak sempat meminta maaf kepada ibubapa.  Sedihkan kita dah insaf, dah bertaubat tapi ibubapa tiada di sisi.

Cukuplah anak-anak mengambil pengajaran dari sedikit tazkirah dari ummi.