Tuesday, October 2, 2012
At-Taubah: 102 - 105
[102] Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampur adukkan amal yang baik dengan amal yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[103] Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[104] Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah Dia lah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya, dan juga menerima sedekah-sedekah (dan zakat serta membalasnya), dan bahawa sesungguhnya Allah Dia lah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani?
[105] Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”.
Ummi - Sesungguhnya Al-Quran sebagai pengajaran dan peringatan ('Abasa Ayat 11)
Sunday, August 5, 2012
Tazkirah Untuk Anak-Anak
Sehabis tadarus, ummi tidak menjawab soalan mereka sebaliknya memberi tazkirah pendek kepada mereka.
Dalam hidup kita perlu ingat dua perkara:
Pertama: Matlamat Hidup Mesti Jelas
Masa muda, usia remaja jangan biar berlalu begitu saja. Ikut hati, duduk melepak sahaja, lepak kat cyber cafe, lepak kat shopping kompleks, kat rumah lepak depan tv, lepak depan laptop. Sembahyang?? Tak sembahyang langsung. Kita hanya melayan kehendak hati, mengikut kehendak nafsu yang hanya inginkan keseronokkan sahaja. Semasa muda hidup bertemankan keseronokkan apa akan jadi bila usia meningkat tua. Adakah Allah akan pelihara hidup kita di usia tua sedangkan masa muda kita lupa Allah, langgar segala macam peraturan Allah.
Ingat matlamat hidup bukan hiburan.
Matlamat Hidup ialah beribadah kepada Allah s.w.t.
Tetapkan matlamat hidup,
melangkah kaki mengikut matlamat
dan hidup perlu berdamping selalu dengan Al-Quran.
Ingatlah bagaimana kita hidup begitulah juga akhir hidup kita. Orang minum arak, mabuk dan mati "accident" pun dalam keadaan mabuk. Orang hidupnya bermaksiat kepada Allah mati pun dalam keadaan bermaksiat kepada Allah. Tak sempat bertaubat, tak sempat bermohon keampunan dari Allah s.w.t. Nauzubillah.
Kedua: Jaga Ibubapa Terutamanya Ibu
Jaga ibubapa, jangan melawan, jangan berkasar dengan mereka, berkata 'ah' hanya satu patah perkataan Allah sendiri melarang apatah lagi kita membalas berpatah-patah perkataan, menarik muka masam, mencemik muka atau mengajuk dan memerli mereka dan yang paling penting jangan sesekali durhakai mereka. Taatilah ibubapa, jangan biarkan mereka susah hati, dan menangis kerana kita, terutamanya ibu.
Hati ibu hati yang lembut, dia mudah terasa hati dan dia juga mudah memaafkan. Layanilah ibu dengan penuh ikhlas, hidangkan air untuknya tanpa diminta, bila dia mengadu kesakitan jagalah dia dan jangan merungut 'ah', 'ish', 'leceh'. Jadilah penawar hati ibu saat dia keletihan bekerja dan pengubat hati saat dia kesedihan. Hargailah ibu seperti seorang kekasih kerana ibulah kekasih hati anak-anak.
Seorang lelaki datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya:
“Siapakah manusia yang paling berhak untuk aku layani dengan sebaik-baiknya?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ibu kamu.”
Dia bertanya lagi: “Kemudian siapa?”
Baginda menjawab: “Ayah kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Layanilah ibubapa dengan sebaik-baiknya kerana ianya perentah Allah dan sentiasa doakan mereka dalam solat dan sujud kita. Walaupun kita tak dapat membalas kesemua jasa mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak menyakiti hati mereka dengan perbuatan dan perkataan yang kurang menyenangkan. Ingatlah syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibu dan redha Allah dengan redhanya ibubapa. Jangan sampai ibubapa dah meninggal, baru keinsafan datang mengetuk pintu hati. Amat sayang dan rugi, saat kita sudah bertaubat kita tak sempat meminta maaf kepada ibubapa. Sedihkan kita dah insaf, dah bertaubat tapi ibubapa tiada di sisi.
Cukuplah anak-anak mengambil pengajaran dari sedikit tazkirah dari ummi.
Friday, March 30, 2012
Apabila Amanah DiSia-Siakan
Hari ni, Jumaat...biasanya pada sebelah petang jam 5.00, akan ke udara Al-Kuliyyah di TV 3, tapi bila switch on ja tv, yang bercakap tentang agama orangnya beruniform kemas dan mempunyai paku-paku di bahu, dah rasa malas nak tengok, maka tv pun di switch offkan.
Semalam, hari Khamis malam Jumaat kat TV 1, bila buka ja rancangan Forum Hal Ehwal Islam. Yang bercakap tentang agama Islam seorang wanita yang hanya memakai selendang di bahu, suami ummi pun bertanya, "Rancangan apa ni?" Jawab ummi, "Hal Ehwal Islam." "Awat yang pelik sangat" katanya. Ummi diamkan saja dan 'remote control' dipegang, terus ditukar ke TV Al-Hijrah. Kalau anak ummi, sudah tentu akan ditukar terus ke TV 3, yang setiap malam Jumaatnya menyiarkan kisah-kisah khurafat. Apa lagi gambar hantu, sampai dah meluat ummi melihatnya dok bersambung bersiri-siri.
Bila melihat orang yang bercakap tentang agama Islam bukan dari kalangan ulamak atau ustaz-ustaz, ummi teringatkan hadis Nabi Muhammad s.a.w.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: "Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. sedang berada dalam suatu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dan terus bertanya, "Bilakah akan terjadi hari qiamat?". Raulullah s.a.w. tetap meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Baginda (Ar-Rasul) mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disukainya". Sementara yang lain pula berkata, "Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu". Sehingga apabila Rasulullah s.a.w. selesai dari percakapannya beliau bersabda, "Di mana orang yang bertanya tentang hari qiamat tadi ?" Lalu Arab Badwi itu menyahut, "Ya! saya Ya Rasulullah". Maka Baginda. bersabda, "Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari qiamat". Arab Badwi ini bertanya pula, "Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu"? Rasulullah s.a.w. menjawab, "Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari qiamat". (Hadis Riwayat: Imam Bukhari)
Tambahan pula sekarang ni, bahang-bahang pilihanraya dah hampir tiba, akan bertambah ramai lagi orang yang akan bercakap tentang agama.
Subscribe to:
Posts (Atom)