Wednesday, November 23, 2011

Menjadi Ghuraba


     Cinta kepada dunia perlu digantikan dengan cinta kepada Allah tanpa mengabaikan dunia. Kecintaan kepada Allah akan melahirkan perasaan cinta kepada akhirat dan ia mempunyai manifestasinya. Di antara menifestasinya adalah berani melawan arus kesesatan dan kemungkaran yang melanda. Mereka ini adalah Ashabul Kahfi pada akhir zaman.


     Nabi Muhammad meggelar mereka dengan nama Ghuraba seperti yang direkodkan oleh Ahmad yang bermaksud, "Islam bermula asing dan ia akan kembali asing seperti permulaannya, maka bahagialah golongan Ghuraba." Sahabat nabi bertanya kepada nabi, "Siapakah Ghuraba ya Rasulullah?" Nabi berkata, "Mereka ialah golongan yang memperbaiki keadaan yang dirosakkan oleh manusia."


     Memperbaiki perkara yang sudah rosak bukan perkara mudah, apatah lagi bila kerosakkan sudah begitu teruk. Namun itu adalah tugas yang wajib dilaksanakan oleh mereka yang cintakan agama, kerana kemuliaan diri mereka terletak di situ. Justeru, ilmu yang mantap lagi sahih amat diperlukan, supaya perbaikan yang diperlukan dapat dilakukan dengan baik.


     Usaha pembaikan yang penting adalah mengislah manusia terutamanya kefahaman mereka. Berhubung dengan ini, Al-Bukhari dan Muslim merekodkan kata-kata nabi yang bermaksud, "Manusia laksana lombong emas dan perak. Mereka yang terbaik pada zaman jahiliah dan mereka yang terbaik di dalam Islam apabila mereka memiliki kefahaman agama."


     Kefahaman yang sahih perlu disusuli dengan amal yang salih. Ia mempunyai suara dakwahnya yang tersendiri kerana dakwah tanpa contoh persis pohon tanpa baja. Contoh atau model yang baik amat diperlukan pada hari ini. Apabila suara kita lantang sedangkan amalan kita sonsang, dakwah kita akan mendapat cemuhan.




Dalam surah As-Saff ayat 2 dan ayat 3, Allah berkata, "Wahai mereka yang beriman, mengapa kamu mengatakan perkara yang tidak kamu lakukan? Allah murka kepada mereka yang mengatakan perkara yang tidak mereka lakukan."




**Petikan buku "TUAN BERTANYA, DR. DANIAL MENJAWAB MENGENAI PERSOALAN ISLAM YANG KONTEMPORARI"



*doa ummi;  Semoga anak-anak menjadi generasi ghuraba.